fb fb fb fb fb

Datang ke Taiwan dalam "suasana aman dan persahabatan" - Pelosi

(Nancy Pelosi ketika tiba di Lapangan Terbang Sungshan, Taipei
pada Selasa malam/AFP)

TAIPEI, 3 Ogos- Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi menyifatkan kehadirannya bersama para delegasi ke Taiwan adalah untuk "keamanan rantau ini," selepas lawatannya telah membangkitkan kemaharan China dan mencetuskan konflik diplomatik.

Beliau tiba di Taiwan pada Selasa malam, tanpa mempedulikan beberapa amaran serta ancaman lebih tegas disuarakan China.

Beijing menganggap Taiwan adalah sebahagian wilayahnya dan telah memberi peringatan bahawa lawatan Pelosi ke Taipei adalah satu provokasi serius.

Pelosi, individu ke-2 terpenting dalam barisan presiden, adalah pemimpin berprofil tinggi yang terpilih untuk memulakan lawatan pertama ke Taiwan selepas kali terakhir, 25 tahun lalu.

"Kami datang ke Taiwan atas dasar persahabatan, kami hadir dalam suasana aman," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Tsia Chi-chang, Timbalan Speaker Parlimen Taiwan.

Pelosi yang dalam siri lawatan ke Asia, akhirnya tiba di Taiwan; menjawab segala spekulasi berhubung rancangannya sama ada singgah di Taiwan atau sebaliknya yang mendapat tentangan China.


(Speaker Dewan Perwakilan, AS Nancy Pelosi (kiri) dan Timbalan Speaker Parlimen
Taiwan Tsai Chi-chang (kanan) melambai ke arah wartawan ketiba tiba di parlimen
Taiwan pada 3 Ogos 2022/AFP)

Difahamkan, Duta Besar AS Nicholas Burns telah dipanggil oleh kementerian luar China pada lewat Selasa dan memberi amaran bahawa Washington "perlu bertanggungjawab atas apa yang bakal berlaku."

"Langkah itu sangat teruk dan kesannya amat serius," kata Timbalan Menteri Luar China, Xie Feng memetik laporan agensi berita Xinhua. "China tidak akan berdiam diri."

Sebelum itu, tentera China berkata mereka dalam keadaan bersiap-siaga dan akan "melancarkan beberapa siri tindakan ketenteraan secara bersasar sebagai tindak balas" terhadap lawatan itu.

Pihak tentera juga segera mengumumkan rancangan untuk mengadakan beberapa siri latihan ketenteraan di perairan sekitar pulau itu (Taiwan) yang bermula hari ini, termasuk "tembakan peluru hidup jarak jauh" di Selat Taiwan.

"Mereka yang bermain dengan api akan menerima akibatnya," tambah kenyataan Kementerian Luar China.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, lebih 21 pesawat tentera China pada Selasa terbang dalam zon pertahanan udara pulau itu -- kawasan yang lebih luas berbanding ruang udara wilayah Taiwan yang sebahagiannya bertindih dengan zon pertahanan udara China. -AFP

Media Baharu