LIMA, 28 September -Golongan muda di Peru sekali lagi mengadakan protes menentang Presiden Dina Boluarte, menyebabkan pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan berhampiran bangunan kongres.
Pasukan polis telah melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta demonstrasi, yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar, generasi muda, pemandu pengangkutan awam, serta peniaga kecil.
Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peningkatan kadar jenayah dan ketidaktentuan ekonomi.
Gelombang protes bermula pada 20 September lalu selepas kerajaan meluluskan reformasi sistem pencen negara, yang mewajibkan semua warga Peru berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai penyedia pencen.
Kemarahan rakyat semakin memuncak akibat skandal rasuah, ketidakstabilan ekonomi, peningkatan kadar jenayah, serta ketiadaan pertanggungjawaban terhadap kematian puluhan penunjuk perasaan sebelum ini, yang ditembak oleh pasukan keselamatan ketika Dina Boluarte mengambil alih tampuk pemerintahan pada akhir tahun 2022.
Ketika itu, bekas Presiden Pedro Castillo telah digulingkan dan ditahan.
Menurut laporan Institut Kajian Peru pada Julai lalu, kadar kelulusan terhadap Boluarte hanyalah 2.5%, manakala Kongres pula hanya memperoleh sokongan 3% dalam kalangan rakyat." - REUTERS