Hanoi, 28 September -Vietnam merancang memindahkan lebih 250,000 penduduk dari kawasan pesisir pada hari Ahad menjelang ketibaan Taufan Bualoi, yang dijangka melanda kawasan tengah negara itu.
Empat lapangan terbang domestik telah ditutup dan semua bot nelayan yang berada di laluan taufan diarahkan kembali ke pelabuhan.
Menurut laporan media rasmi "Danang, merancang untuk memindahkan lebih 210,000 penduduk, manakala lebih 32,000 penduduk di Hue yang tinggal berhampiran kawasan pesisir turut akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat."
Lebih 15,000 penduduk di Ha Tinh turut dijadualkan untuk dipindahkan ke sekolah dan pusat perubatan yang dijadikan pusat perlindungan sementara, menurut pihak berkuasa.
Taufan Bualoi kini berada di laut dengan kelajuan angin mencapai 130 kilometer sejam (80 batu sejam) dan dijangka mendarat pada pukul 7.00 malam (12.00 tengah hari GMT), menurut agensi meteorologi negara
Hampir 117,000 anggota tentera telah dikerahkan untuk membantu operasi pemindahan dan kesiapsiagaan.
Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Negara Vietnam melaporkan taufan itu dijangka membawa angin kencang sekitar 133 kilometer sejam ketika mendarat pada petang Ahad.
"Ini adalah taufan bergerak pantas dengan intensiti sangat kuat dan kawasan impak yang luas, mampu menyebabkan gabungan pelbagai bencana alam seperti angin kencang, hujan lebat, banjir, tanah runtuh, dan banjir pesisir," kata Pengarah pusat itu, Mai Van Khiem.
Para saintis memberi amaran bahawa taufan semakin kuat akibat pemanasan global yang dipengaruhi oleh perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.
Kementerian Pertanian memaklumkan, di Vietnam, lebih 100 orang dilaporkan maut atau hilang akibat bencana alam dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2025.
Vietnam mengalami kerugian ekonomi sebanyak AS$3.3 bilion (lebih RM14 bilion) pada September tahun lalu akibat Taufan Yagi yang melanda utara negara itu dan menyebabkan ratusan kematian. - AFP