GAZA, 28 September -Angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 65,926 orang dengan 167,784 lagi cedera akibat konflik Hamas-Israel sejak 7 Oktober 2023.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza, pada Sabtu 77 lagi mangsa terkorban dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 265 lagi cedera akibat serangan udara dan darat oleh tentera Israel.
Dilaporkan, seramai 17 orang terbunuh dan 89 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di lokasi pengagihan bantuan.
Sementara itu, lebih 750,000 penduduk Gaza telah dipaksa meninggalkan kediaman dan menuju ke selatan wilayah tersebut, susulan peningkatan serangan ketenteraan rejim zionis di kawasan berkenaan.
Sejak seminggu lalu bilangan penduduk Gaza yang berpindah semakin meningkat selepas Israel terus memaksa orang awam supaya berpindah ke kawasan yang mereka sifatkan sebagai "zon selamat kemanusiaan" di selatan Gaza.
Sebelum ini media kerap melaporkan, kawasan yang mereka sifatkan sebagai zon selamat, turut menjadi lokasi serangan sehingga menyebabkan banyak penduduk Gaza terkorban.
Sebelum operasi serangan besar-besaran dilancarkan, Gaza dianggarkan menempatkan kira-kira satu juta penduduk. - REUTERS