fb fb fb fb fb

Ghana, IMF setuju bayar pinjaman kedua bernilai AS$600 juta

FOTO AFP

ACCRA, 6 Oktober- Ghana telah mencapai persetujuan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berhubung terma pembayaran kedua sebanyak AS$600 juta daripada perjanjian kredit AS$3 bilion.

IMF dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran bahagian kedua pinjaman Ghana akan dibuat selepas kelulusan lembaga IMF dan menjadikan jumlah yang dikeluarkan sejak Mei kepada AS$1.2 bilion.

Ghana menandatangani perjanjian dengan IMF pada Disember ketika negara itu berusaha meningkatkan kewangan awamnya dan menguruskan hutang dengan lebih baik untuk keluar daripada krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad.


(FOTO AFP)

"Pihak berkuasa telah menyesuaikan dasar makro ekonomi, berjaya menyelesaikan operasi penstrukturan semula hutang domestik mereka dan melancarkan pembaharuan yang meluas."

"Tindakan ini sudah menghasilkan keputusan positif," kata ketua misi IMF, Stephane Roudet dalam satu kenyataan pada akhir kajian pasukannya di Accra.

Ghana akan mempunyai akses kepada pembiayaan kira-kira AS$600 juta sebaik sahaja semakan misi itu diluluskan oleh lembaga pengarah.

Situasi ekonomi negara akan menjadi tema kempen pilihan raya tahun depan, dengan Presiden Nana Akufo-Addo meletak jawatan selepas dua penggal.

Ratusan penunjuk perasaan pembangkang berhimpun di ibu negara Ghana, Accra awal minggu ini untuk mengecam krisis ekonomi, menyalahkannya atas dasar gabenor bank pusat.

Selain merupak pengeluar koko dan emas utama, Ghana juga mempunyai rizab minyak dan gas.

Namun, beban hutangnya telah berkembang seperti negara-negara sub-Sahara Afrika yang lain, bergelut dengan kejatuhan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan perang Rusia-Ukraine.- AFP

Media Baharu