MONTREAL, 6 Julai- Gereja Katolik Kanada diarah membayar 104 juta dolar Kanada (AS$ 76 juta) kepada ratusan mangsa penderaan seksual, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Pada tahun 2020, Archdiocese of St. John didapati bertanggungjawab atas salah satu skandal penderaan seks kanak-kanak terbesar di Kanada iaitu di Rumah Anak Yatim Mount Cashel, sebuah rumah anak yatim lelaki yang kini tidak lagi beroperasi di wilayah Newfoundland dan Labrador.
Mahkamah mendapati penderaan seksual telah dilakukan oleh paderi dan pegawai gereja lain di rumah anak yatim itu bermula pada tahun 1940 dan berterusan selama beberapa dekad.
Seramai 292 mangsa akan menerima bayaran antara 55,000 hingga 850,000 dolar Kanada.
Firma perakaunan Ernst & Young telah dilantik sebagai perantara pihak ketiga untuk menentukan jumlah yang diagihkan kepada setiap mangsa.
Geoff Budden, salah seorang peguam yang mewakili mangsa, memberitahu AFP jumlah itu adalah selaras dengan "pampasan serupa daripada mahkamah lain."
"Orang ramai tidak benar-benar memahami skala masalah dan betapa meluasnya penderaan itu," katanya.
Archdiocese of St. John diisytiharkan muflis pada 2021, walaupun ia telah mengumpulkan 40 juta dolar Kanada melalui penjualan bangunan miliknya.
Bagaimanapun, Budden berkata beliau optimis mangsa akan menerima jumlah penuh yang dianugerahkan oleh mahkamah.-AFP