fb fb fb fb fb

Gempa magnitud 6.9 melanda Papua New Guinea - USGS

Foto: FB Malaysian Meteorological Department

SYDNEY, 24 Mac- Gempa bumi berukuran 6.9 melanda utara Papua New Guinea (PNG) pada pagi Ahad, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata 'tiada ancaman tsunami' daripada gegaran agak kuat itu, yang melanda pada jam 6.22 pagi waktu tempatan (2022 GMT Sabtu) pada kedalaman kira-kira 35 kilometer (km).

Menurut USGS, gempa bumi besar itu melanda kira-kira 88km ke barat daya Wewak, sebuah bandar dengan 25,000 penduduk yang juga ibu kota wilayah Sepik Timur PNG.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan akibat gegaran yang pada awalnya dilaporkan berukuran tujuh pada skala Richter, sebelum ia diturunkan kepada 6.9.

Gempa bumi adalah perkara biasa di PNG yang terletak di 'Lingkaran Api Pasifik', kawasan di mana aktiviti tektonik amat aktif, yang merentangi Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.

Walaupun ia jarang menyebabkan kerosakan yang meluas, ia masih mampu mengakibatkan tanah runtuh di kawasan hutan tanah tinggi yang jarang diduduki manusia.

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh pada April tahun lalu apabila gempa bumi berukuran tujuh melanda kawasan hutan di pedalaman negara itu.

Sebahagian besar daripada sembilan juta rakyat negara pulau itu tinggal di luar bandar dan bandar utama, di mana muka bumi yang sukar dan kekurangan jalan yang baik boleh menjejaskan usaha mencari dan menyelamat secara serius. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI