fb fb fb fb fb

Wujud jurang besar, rundingan gencatan senjata adalah sukar - Hamas

Foto menunjukkan asap berkepul-kepul selepas pengeboman Israel di sekitar hospital Al-Shifa di Bandar Gaza pada 21 Mac 2024, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas/ AFP

WILAYAH PALESTIN, 24 Mac- Perbezaan mendalam wujud antara Hamas dan Israel dalam rundingan untuk gencatan senjata di Gaza, menurut seorang pegawai pejuang Palestin hari ini.

Rundingan gencatan senjata adalah sukar dan kemungkinan pertukaran tebusan dan tahanan disambung semula di Doha minggu ini, dengan ketua perisik Israel menyertai pengantara iaitu Mesir, Qatar dan AS.

“Terdapat perbezaan yang mendalam dalam kedudukan dalam rundingan antara Hamas dan pendudukan (Israel) kerana musuh memahami fleksibiliti yang ditunjukkan oleh pergerakan itu sebagai kelemahan.

"Musuh ingin mencapai gencatan senjata sementara selepas itu ia boleh meneruskan pencerobohannya terhadap rakyat kita," kata pegawai itu.

Ujarnya, Israel "enggan bersetuju dengan gencatan senjata yang komprehensif dan menolak pengunduran sepenuhnya tenteranya dari Gaza.

Pegawai itu menambah bahawa Israel telah menyatakan ia mahu meneruskan penghantaran bantuan dan perlindungan namun harus di bawah kawalannya, dan menuntut "PBB tidak kembali berkhidmat" terutamanya di utara Semenanjung Gaza.

Hubungan tegang yang lama antara Israel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah bertambah buruk apabila kemarahan antarabangsa tercetus akibat korban awam yang berat dan krisis kemanusiaan di Gaza.

Pemulangan tebusan yang diambil dalam serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel telah menjadi persoalan utama dalam rundingan, tetapi pegawai Hamas itu tidak memberikan sebarang komen mengenai isu itu.

Pejuang Palestin menahan kira-kira 250 tebusan Israel dalam serangan itu, tetapi puluhan telah dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November.

Israel percaya terdapat kira-kira 130 tahanan kekal di Gaza, termasuk 33 yang dianggap mati iaitu terdiri daripada lapan tentera dan 25 orang awam. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI