fb fb fb fb fb

Gempa di China, angka korban meningkat kepada 66 mangsa

(FOTO AFP)

SICHUAN, 7 September- Pihak berkuasa sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi yang melanda Sichuan, China.

Setakat ini 66 orang disahkan terkorban, 16 masih hilang dan lebih 50 cedera.

Gempa bumi turut menyebabkan tanah runtuh dan menggegarkan bangunan di ibu kota Chengdu.

Gempa ini melanda kawasan pergunungan di daerah Luding .

Selain kematian, pihak berkuasa melaporkan tanah runtuh dari lereng gunung menyebabkan kerosakan pada rumah penduduk dan gangguan bekalan elektrik.

Media tempatan turut menyiarkan pasukan anggota penyelamat menarik seorang wanita daripada runtuhan rumah di Moxi.

Khemah turut didirikan untuk lebih 50,000 orang yang dipindahkan dari kediaman masing-masing kerana didapati tidak selamat akibat gempa bumi.

Gegaran itu turut memusnahkan sekolah dan komuniti luar bandar di luar Chengdu.


(FOTO REUTERS)

Sementara itu, pasukan penyelamat di barat daya wilayah Sichuan terpaksa bekerja sepanjang malam bagi memindahkan mangsa yang cedera.

Pihak berkuasa mengerahkan lebih 6,500 anggota penyelamat untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak gempa melanda.

Anggota penyelamat pengusung mangsa yang terselamat keluar dari bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi ini.

Anggota penyelamat termasuk pasukan bomba telah memindahkan lebih 11,000 mangsa berikutan gempa bumi 6.8 skala Richter di Sichuan.

Beberapa jalan dan beratus-ratus rumah berhampiran pusat gempa rosak teruk akibat tanah runtuh manakala talian komunikasi terputus.

Gempa bumi itu menyebabkan bekalan kuasa ke beberapa bandar terjejas, manakala banyak lebuh raya dan tujuh stesen janakuasa hidro rosak.

Pusat gempa kali ini di bandar Luding yang terletak 226 kilometer di barat daya ibu kota Chengdu.-REUTERS

Media Baharu