fb fb fb fb fb

Gempa bumi terbaharu di Turkiye ragut enam nyawa, ratusan cedera

FOTO AFP

ANTAKYA, 21 Februari- Enam orang maut dan lebih 300 orang tercedera susulan gempa bumi terbaru yang melanda Turkiye.

Mangsa yang cedera dirawat di hospital di Adana dan Dortyol selepas dua gempa bumi terbaharu melanda wilayah sempadan Turkiye dan Syria.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata pasukan kecemasan kini berada di tiga lokasi bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di pusat gempa di wilayah Hatay.

Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud itu berlaku hanya dua minggu selepas dua gempa kuat menggegarkan wilayah yang sama pada 6 Februari lalu.

Gempa bumi pertama melanda daerah Defne pada kira-kira pukul 8.40 malam waktu tempatan dan gempa kedua berlaku tiga minit kemudian dengan pusat gempa di daerah Samandag.

Datuk Bandar wilayah Hatay, Lutfi Savas memberitahu bahawa gempa bumi terbaharu meruntuhkan beberapa bangunan dan beberapa orang terperangkap di bawah runtuhan.

Pusat gempa dikesan berhampiran bandar Antakya di selatan Turkiye di mana gegarannya turut dirasai di Syria, Mesir Lubnan, Jordan dan Israel.

Gempa bumi terbaharu melanda Hatay beberapa jam selepas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melawat wilayah itu.


(FOTO AFP)

Media Baharu