TOKYO, 9 Januari- Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda Jepun pada 1 Januari lalu melebihi 200 orang.
Pihak berkuasa wilayah Ishikawa melaporkan seramai 202 orang maut dan seramai 102 mangsa yang terlibat dalam insiden itu tidak dapat dikesan.
Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu meruntuhkan bangunan, menyebabkan kebakaran dan memusnahkan infrastruktur di Semenanjung Noto di pulau utama Jepun, Honshu.
Sementara itu, ribuan penyelamat bergelut dengan jalan yang rosak dan cuaca buruk untuk membersihkan serpihan.
Dalam pada itu, hampir 3,500 orang yang masih terperangkap dalam kawasan terpencil.
Keadaan salji tebal menyukarkan usaha bantuan. Sehingga semalam, hampir 30,000 orang tinggal di 400 pusat perlindungan dan beberapa daripadanya penuh sesak dan bergelut untuk menyediakan makanan, air dan pemanasan yang mencukupi.
Hampir 60,000 isi rumah tidak mempunyai bekalan air dan lebih 15,000 tidak mempunyai bekalan elektrik.
Keadaan jalan raya bertambah teruk dengan hujan berterusan yang menyebabkan banyak kejadian tanah runtuh.
Jepun mengalami beratus-ratus gempa bumi setiap tahun dan kebanyakannya tidak menyebabkan kerosakan kerana peraturan bangunan yang ketat selama lebih empat dekad.
Bagaimanapun, banyak bangunan lama, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Noto.
Negara itu dilanda gempa kuat pada 2011 yang mencetuskan gelombang tsunami dan menyebabkan lebih 18,000 orang maut atau hilang serta berlakunya tragedi nuklear di loji Fukushima.-AFP