TAIPEI, 3 April - Gempa bumi besar dengan magnitud 7.4 melanda pantai Timur Taiwan pada pagi ini.
Pengarah Pusat Seismologi Taipei berkata, gempa itu antara yang terkuat pernah direkodkan di Taiwan dalam tempoh 25 tahun.
"Gempa bumi itu berhampiran dengan tanah yang cetek. Gegaran turut dirasai di seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar pesisir. Ia ada gegaran yang terkuat dalam tempoh 25 tahun sejak gempa bumi pada tahun 1999," kata Wu Chien-fu kepada media.
Ujarnya, gempa bumi pada pada September 1999 dengan magnitud 7.6 telah mengorbankan 2,400 orang.
Dua bangunan di bandar Hualien di timur Taiwan runtuh selepas kejadian gempa bumi hari ini.
"Dua buah bangunan telah runtuh dan beberapa orang dipercayai terperangkap. Kami tidak mempunyai maklumat lanjut buat masa ini," kata pegawai bomba kepada AFP.
Kejadian gempa bumi itu sekali gus menyebabkan amaran tsunami di selatan Jepun dikeluarkan.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), pusat gempa terletak kira-kira 18 kilometer (11 batu) di selatan bandar Hualien.
Agensi Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami untuk pulau Miyakojima dan Okinawa serta amaran ombak setinggi tiga meter dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, lapangan terbang utama di wilayah selatan Jepun, Okinawa tidak beroperasi susulan amaran tsunami di Taiwan.
Operasi di Lapangan Terbang Naha digantung dari 9,25 pagi waktu tempatan sebagai langkah berjaga-jaga - AFP