fb fb fb fb fb

Gempa bumi di Sichuan China, lebih 40 orang terbunuh

Foto Reuters

BEIJING, 6 September- Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan di China pada Isnin, paling kuat melanda wilayah itu sejak 2017, mengorbankan lebih 40 orang dan menggegarkan ibu kota wilayah Chengdu dan wilayah-wilayah yang lain.

Sebanyak 46 orang terbunuh dalam gempa itu, media kerajaan China Xinhua melaporkan pada Selasa, memetik pihak berkuasa tempatan pada taklimat akhbar.

Beberapa jalan dan rumah berhampiran pusat gempa rosak akibat tanah runtuh, manakala komunikasi terputus di sekurang-kurangnya satu kawasan, lapor televisyen kerajaan.


(Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda wilayah Sichuan di China pada petang Isnin / Foto Reuters)

Tiada kerosakan di empangan dan stesen janakuasa hidro dalam jarak 50 km (31 batu) dari pusat gempa dilaporkan, walaupun kerosakan pada grid wilayah telah menjejaskan bekalan kuasa kepada kira-kira 40,000 pengguna akhir.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa China, pusat gempa berada di bandar Luding, di kawasan pergunungan kira-kira 226 km barat daya Chengdu.

Gempa bumi adalah perkara biasa di wilayah barat daya Sichuan, terutamanya di barat pergunungan, kawasan aktif tektonik di sepanjang sempadan timur dataran tinggi Qinghai-Tibet.

Laura Luo, yang tinggal di Chengdu, sebuah bandar berpenduduk kira-kira 21 juta orang, sedang dalam perjalanan ke blok pangsapurinya apabila dia melihat orang ramai bergegas keluar dari rumah mereka dalam keadaan panik selepas mendapat amaran gempa bumi menerusi telefon bimbit mereka.

"Ramai orang sangat takut sehingga mula menangis," kata Luo, seorang perunding, kepada Reuters.

"Semua anjing mula menyalak. Ia benar-benar menakutkan," katanya, merujuk ketika gempa bermula.

Di Luding, gempa bumi itu begitu kuat sehingga sukar bagi sesetengah orang untuk terus berdiri, manakala keretakan kelihatan pada beberapa rumah, lapor Perkhidmatan Berita China.

Klip video di media sosial menunjukkan lampu berayun manakala orang ramai bergegas keluar dari bangunan ke jalan raya.

Kerajaan wilayah Sichuan berkata lebih 30 orang telah meninggal dunia. Sekurang-kurangnya empat daripada mereka berada di Luding.

Seramai 39,000 orang tinggal dalam lingkungan 20 km dari pusat gempa dan 1.55 juta dalam 100 km, menurut televisyen negara.

Gempa itu adalah paling kuat di Sichuan sejak Ogos 2017, apabila gempa 7.0 magnitud melanda wilayah Aba.

Gempa bumi Sichuan paling kuat dalam rekod adalah pada Mei 2008, apabila gempa bumi berukuran 8.0 magnitud berpusat di Wenchuan membunuh hampir 70,000 orang dan menyebabkan kerosakan serius.

Gempa pada Isnin turut dirasai di wilayah Yunnan, Shaanxi dan Guizhou ratusan kilometer jauhnya, menurut media kerajaan.

Penduduk Chengdu, Samantha Yang, 23, berada di atas katil untuk tidur sebentar ketika gempa melanda.

"Bangunan itu terus bergegar, lebih teruk daripada sebelumnya," kata Yang. "Sungguh, ini paling menakutkan sejak gempa bumi Wenchuan 2008." -REUTERS

Media Baharu