fb fb fb fb fb

Polis buru dua lelaki selepas amuk membunuh 10 orang

Foto Reuters

(Damien Sanderson dan Myles Sanderson, yang dinamakan oleh Royal Canadian Mounted Police (RCMP)
sebagai suspek kes tikaman di wilayah Saskatchewan Kanada/Reuters)

WELDON, 6 September- Dua lelaki yang disyaki membunuh 10 orang dalam satu kejadian amuk dan tikam melibatkan komuniti orang asli di Kanada diburu polis Kanada secara besar-besaran. Pasukan penyiasat pula masih berusaha menentukan motif serangan yang amat mengejutkan di negara; keganasan besar-besaran jarang berlaku.

Polis melancarkan gerakan memburu Damien Sanderson, 31, dan Myles Sanderson, 30, selepas mereka didakwa menikam 10 orang sehingga mati di 13 kawasan berbeza merentasi komuniti orang asli dan wilayah sekitarnya pada Ahad. Sekurang-kurangnya 15 individu lain cedera.


(Pasukan forensik polis menyiasat tempat kejadian selepas beberapa orang terbunuh
dan cedera dalam kejadian tikaman di Weldon, Saskatchewan, Kanada / Foto Reuters)

Serangan di wilayah Saskatchewan adalah antara insiden paling ngeri dalam sejarah moden Kanada. Kenyataan oleh pemimpin orang asli menunjukkan tindakan itu mungkin berkaitan dadah. Polis berkata beberapa mangsa memang menjadi sasaran, manakala yang lain menjadi mangsa serangan rambang.

Polis memberikan maklumat terkini pada pukul 12:30 tengah hari Ahad. Suspek kali terakhir dilihat menaiki sebuah Nissan Rogue hitam dan dikesan pada Ahad di bandar Regina, kira-kira 320 km (200 batu) di selatan lokasi serangan di James Smith Cree Nation dan kampung Weldon, kata polis.

Dalam kemas kini pagi Isnin, polis berkata suspek masih bebas dan polis menggesa penduduk menghubungi pihak berkuasa jika mereka mempunyai maklumat yang boleh membantu mengesan dua lelaki itu.

Doreen Lees, 89, berkata dia dan anak perempuannya sedang duduk di beranda rumah mereka di Weldon pada pagi Ahad apabila sebuah SUV gelap dengan pantas meluncur laju, situasi luar biasa di kampung kecil itu.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki menghampiri mereka mengatakan dia cedera, kata Lees, sambil menambah dia berdiri kira-kira 10 kaki jauhnya dan menutup mukanya. Anak perempuannya berlari masuk untuk menghubungi polis. Namun kemudian lelaki itu pergi, katanya.

"Pada masa itu kami masih tidak berasa gementar. Kami hanya fikir dia cedera dan dia memerlukan bantuan," kata Lees. "Tetapi dia tidak berhenti meminta bantuan, kemudian kami tertanya-tanya 'Apa yang berlaku?"

Komuniti Orang asli menyumbang kurang 5% daripada populasi Kanada berjumlah kira-kira 38 juta orang dan mengalami tahap kemiskinan serta pengangguran lebih tinggi daripada penduduk lain Kanada selain jangka hayat lebih singkat.

Perdana Menteri Justin Trudeau berkata pihaknya telah berkomunikasi secara langsung dengan kepimpinan James Smith Cree Nation, sambil menambah, "kami bersedia untuk membantu dalam apa jua cara yang boleh."

James Smith Cree Nation ialah komuniti orang asli dengan populasi kira-kira 3,400 orang, sebahagian besar terlibat dalam pertanian, memburu dan memancing. Weldon ialah sebuah perkampungan dihuni kira-kira 200 orang.

Penduduk Weldon mengenal pasti Wes Petterson, 77, seorang duda, sebagai salah seorang mangsa tikam. Lana Head, ibu kepada dua anak, juga telah dibunuh, kata bekas pasangannya.

Suspek berkemungkinan berada di Regina, kata ketua polis bandar itu, Evan Bray, dalam video Twitter lewat Ahad. Tetapi pihak berkuasa telah memberi amaran tidak jelas ke mana mereka mungkin menuju atau jika mereka telah menukar kenderaan.

Kedua-dua lelaki itu berkongsi nama keluarga yang sama tetapi tidak jelas sama ada mereka berkaitan atau berasal dari komuniti sama.

Buletin polis menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berlindung di tempat selamat, sambil memberi amaran supaya tidak mengambil penumpang atau mendekati orang yang mencurigakan. -REUTERS

Media Baharu