fb fb fb fb fb

Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda Papua New Guinea

PORT MORESBY, 12 September- Gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda Papua New Guinea (PNG) pagi semalam.

Gempa bumi yang berlaku pukul 7.46 pagi waktu tempatan telah mencetuskan kejadian tanah runtuh dan menyebabkan kediaman di perkampungan di Banjaran Finisterre tertimbus, seorang disahkan maut, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

USGS telah mengeluarkan amaran tsunami tetapi kemudiannya berkata ancaman itu "sudah berlalu".

Penduduk tempatan melaporkan kerosakan pada bangunan berhampiran bandar Pantai Madang dan lebih jauh ke pedalaman.

Laman sesawang digital tempatan Loop PNG memaklumkan gegaran turut dirasai di wilayah Lembah Markham, Lae termasuk bandar Kainantu di wilayah Highlands timur, dan di Port Moresby serta beberapa bahagian lain.

Gempa bumi juga telah menjejaskan bekalan kuasa di kawasan berkenaan.

Mission Aviation Fellowship (MAF) PNG telah menghantar sebuah pesawat untuk memindahkan empat mangsa yang mengalami kecederaan.

Perdana Menteri PNG, James Marape yang bimbang dengan kesan akibat gempa itu menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Pasukan Pertahanan PNG dan polis telah diarah siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Gempa bumi yang melanda Papua New Guinea / FOTO AFP

Marape berkata pihaknya akan mengumumkan pelan tindakan awal sementara menunggu laporan penuh mengenai kerosakan dan jumlah mangsa yang terjejas.

Pusat gempa bumi dilaporkan pada 6.30 darjah selatan dan 146.55 darjah timur, pada kedalaman 70 kilometer, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC). -AFP

Media Baharu