MEXICO CITY, 12 Januari- Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegarkan barat daya Mexico pada Ahad.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), tiada laporan mengenai kerosakan atau kematian, setakat ini.
"Gegaran itu berpusat kira-kira lapan kilometer dari Coalcoman de Vazquez Pallares, sebuah kawasan perbandaran yang dihuni sekitar 20,000 penduduk dan terletak 600 kilometer di barat ibu kota Mexico City.
"Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 86.2 kilometer," menurut kenyataan itu.
Mexico terletak di atas lima plat tektonik, menjadikannya salah satu negara paling terdedah kepada gempa bumi di dunia, terutama di kawasan pesisir Pasifik.
Pada 1985, gempa bumi berukuran 8.1 magnitud yang berpusat di pesisir Pasifik telah memusnahkan sebahagian besar wilayah tengah dan selatan Mexico, mengorbankan ribuan nyawa serta menyebabkan kerosakan besar di Mexico City.
Sementara itu, gempa bumi berukuran 7.1 magnitud yang berlaku pada 19 September 2017 telah mengorbankan 369 orang, kebanyakannya di ibu kota.
Pada 2022, Mexico sekali lagi dilanda gempa bumi hanya beberapa jam selepas jutaan penduduk menyertai latihan keselamatan gempa bumi.- AFP