fb fb fb fb fb

Gempa: 13 orang maut, lebih 90 orang cedera

(Foto AFP)

KABUL, 23 Mac- Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dan lebih 90 orang lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda Pakistan dan Afghanistan, lewat malam Selasa lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Pegawai Kanan Wilayah Pakistan, Abdul Basit.

Di barat laut Pakistan, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 44 orang cedera dan hospital di wilayah Khyber Pakhtunkhwa utara diletakkan dalam situasi kecemasan.

Manakala pegawai Kementerian Kesihatan di Afghanistan memberitahu sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 50 orang cedera di negara itu.


(Orang ramai keluar dari sebuah restoran
selepas gegaran dirasai di Lahore/REUTERS)

Sementara itu, pihak berkuasa turut melaporkan rumah dan bangunan di kedua-dua negara turut mengalami kerosakan.

Pusat Seismologi Eropah-Mediterania berkata gempa itu dirasai di kawasan sejauh lebih 1,000 kilometer (621 batu) oleh kira-kira 285 juta penduduk di Pakistan, India, Uzbekistan, Tajikistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Afghanistan dan Turkmenistan.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, pusat gempa berada di pergunungan Hindu Kush dan dikesan 40 kilometer (25 batu) di selatan-tenggara bandar Jurm di Afghanistan, berhampiran sempadan Pakistan dan Tajikistan.

Tahun lalu, gempa bumi berukuran 6.1 magnitud di timur Afghanistan mengorbankan lebih 1,000 orang.

Pada 2005, sekurang-kurangnya 73,000 orang terbunuh akibat gempa bumi berukuran 7.6 magnitud yang melanda utara Pakistan.-REUTERS

Media Baharu