fb fb fb fb fb

Rohingya sangsi dengan tawaran penghantaran pulang pelarian Myanmar

(FOTO FAIL AFP)

COX'S BAZAR, 23 Mac - Pelarian Rohingya meragui hasrat Myanmar mengenai tawaran penghantaran pulang ke tanah air mereka selepas tamatnya lawatan rasmi ke Bangladesh pada Rabu lalu yang kononnya bertujuan memulakan perjanjian terdahulu yang terhenti.

Delegasi 17 pegawai dari rejim tentera junta Myanmar bertemu dengan kira-kira 480 pelarian sepanjang minggu lalu dalam proses yang diuruskan oleh China dan sebahagiannya dipermudahkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pihak berkuasa Bangladesh memberitahu AFP, pihaknya berharap penghantaran pulang pelarian dapat dimulakan tidak lama lagi selepas lebih lima tahun tindakan keras tentera yang kejam, mendorong sejumlah besar pelarian Rohingya memasuki negara itu.

(FOTO FAIL AFP)

Bagaimanapun, etnik minoriti yang ditindas ketika ditemubual delegasi Myanmar memberitahu AFP, tiada langsung pertanyaan mengenai keselamatan atau pengiktirafan kewarganegaraan mereka di jawab.

"Dulu kami pernah dilayan dengan teruk. Saya bertanya sama ada kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa di sana, mereka menghalang saya.

"Mereka tidak mahu sebarang soalan lagi. Saya tidak fikir mereka akan membawa kami ke Myanmar. Jika mereka melakukannya, mereka tidak akan memberi kami sebarang hak," kata Shamsun Nahar, wanita Rohingya berusia 40 tahun.

Delegasi Myanmar itu kembali Rabu lalu selepas seminggu berada di kem pelarian yang luas dengan menempatkan kira-kira sejuta etnik Rohingya.

Jurucakap Junta, Zaw Min Tun memberitahu AFP selepas pemergian mereka bahawa Myanmar berkemungkinan akan memulakan proses penghantaran pulang menjelang pertengahan April dan akan mengalu-alukan kira-kira 1,000 pelarian pada mulanya.

Pasukan itu secara rasmi berada di sana untuk menilai pelarian yang berpotensi dihantar pulang dengan sebahagiannya berdasarkan bukti yang mengesahkan mereka mempunyai kediaman di negara itu sebelum tindakan keras 2017.

Seorang lagi pelarian yang ditemubual oleh pelawat berkata, dokumentasi yang membuktikan mengenai kediamannya dilihat satu tindakan sangsi.

"Saya menyediakan semua dokumen, mereka berkata 'hmm'. Saya tidak fikir mereka percaya ketulenan dokumen kami," kata Soyod Hossain, 50.-AFP

Media Baharu