(Seorang wanita memakai topeng muka memegang payung
dalam keadaan negara itu mengeluarkan amaran gelombang panas/REUTERS)
SHANGHAI, 23 Julai- Xinjiang memberi amaran kemungkinan lebih banyak banjir kilat dan tanah runtuh serta risiko kepada pertanian ketika gelombang panas melanda seluruh wilayah itu, mempercepatkan kadar pencairan glasier dan menimbulkan bahaya bagi pengeluaran kapasnya.
China kini dilanda gelombang haba melebihi tahap panas normal sejak bulan lalu, dengan beberapa ahli meteorologi menyebut perubahan iklim sebagai puncanya.
Cuaca yang terlalu panas telah meningkatkan penggunaan elektrik untuk menyejukkan rumah, pejabat dan kilang.
Di kawasan pertanian, kemarau telah menjadi kebimbangan.
Gelombang haba terbaharu Xinjiang dilihat berlarutan dengan jangkaan lebih lama, menurut Chen Chunyan, ketua pakar di Balai Cerap Meteorologi Xinjiang.
Beliau berkata cuaca ekstrim di selatan dan timur rantau itu, lebih dua kali ganda saiz Perancis, telah berlarutan selama kira-kira 10 hari.
Biro Meteorologi Xinjiang memperbaharui amaran merah untuk wilayah itu, yang tertinggi dalam sistem amaran haba tiga peringkat sekitar tengah hari.
Biro berkenaan turut meramalkan suhu di Kashgar, Hotan, Aksu, Bazhou dan wilayah lain boleh meningkat melebihi 40 darjah Celsiusmanakala beberapa kawasan di Turpan boleh mencecah 45 Celsius atau lebih dalam tempoh 24 jam akan datang.
Suhu di bandar oasis Turpan mencecah 39 Celsius pada pukul 2.00 petang tadi, waktu tempatan.
Pada 2015, sebuah portal berita tempatan melaporkan suhu 50.3 Celsius dicatatkan di stesen cuaca berhampiran Ayding, sebuah tasik kering di Turpan Depression.
"Suhu tinggi yang berterusan telah mempercepatkan pencairan glasier di kawasan pergunungan, dan menyebabkan bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh di lebih banyak tempat," kata Chen.
Pentadbiran Meteorologi China berkata sehari sebelumnya bahawa pencairan glasier di Xinjiang menimbulkan risiko tinggi kegagalan empangan di anak sungai Aksu berhampiran sempadan China dengan Kyrgyzstan.
Xinjiang menempatkan banjaran gunung di sepanjang sempadannya, termasuk pergunungan Tian Shan, Pamir, pergunungan Kunlun dan Karakoram, yang telah menjadi semakin popular untuk pelancong China di tengah-tengah sekatan COVID-19 ke atas perjalanan antarabangsa.
(China kini dilanda gelombang haba melebihi tahap panas normal sejak bulan lalu, dengan beberapa
ahli meteorologimenyebut perubahan iklim sebagai puncanya/REUTERS)
"Gelombang haba seperti itu juga boleh memberi kesan kepada tanaman, terutamanya kapas," kata Chen ketika mengeluarkan peringatan.
Xinjiang menyumbang pengeluaran kira-kira 20 peratus daripada kapas dunia, tanaman yang memerlukan banyak air.
Mengikut anggaran, 20,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram kapas, cukup untuk satu kemeja-T dan seluar jeans.
Bukan hanya Xinjiang terjejas teruk, bahkan satu lagi pusingan suhu ekstrim dijangka menjejaskan kira-kira 20 wilayah lagi.
Wilayah pesisir pantai dan ibu kota kewangan Shanghai dijangka paling terjejas, dengan suhu setinggi 39 Celsius dijangka pada hari Sabtu, kata Pusat Meteorologi Negara. -REUTERS