LOS ANGELES, 5 Oktober- Gelombang haba luar biasa melanda wilayah barat daya Amerika Syarikat (AS), dengan suhu mencatat rekod baharu.
Situasi itu dijangka berlanjutan hingga hujung minggu.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), lebih 70 rekod suhu tertinggi dijangka tercatat terutamanya di wilayah barat daya AS mulai hari ini.
"Gelombang haba dijangka berterusan di beberapa kawasan di tengah dan selatan California serta Gurun Barat Daya," kata kenyataan NWS pada Jumaat.
Pakar cuaca meramalkan gelombang haba di penghujung musim panas ini akan membawa risiko panas sederhana hingga melampau, di beberapa bahagian barat daya AS.
NWS turut melanjutkan amaran haba melampau bagi kawasan berhampiran bandar utama termasuk Las Vegas, Phoenix, San Francisco, dan Los Angeles.
Orang ramai digesa untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa bekerja atau melakukan aktiviti luar.- REUTERS