fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Bosnia Herzegovina, ragut 17 nyawa

Foto Reuters

BELGRADE, 5 Oktober- Sekurang-kurangnya 17 orang maut akibat hujan lebat, tanah runtuh dan banjir yang berterusan di Bosnia Herzegovina, menurut pegawai pada Jumaat.

Pentadbiran Perlindungan Awam menggesa orang ramai supaya mengelak daripada melakukan perjalanan ke jalan-jalan menuju Perbandaran Konjic dan Jablanica.

Selain itu, perlu mematuhi arahan pasukan penyelamat bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan jiwa.

Ramai penduduk terpaksa dipindahkan kerana air sungai melimpah dan mencetuskan kejadian tanah runtuh sekali gus mengganggu kehidupan di Jablanica dan Konjic.

Laluan utama di rantau tersebut disekat, hingga menyukarkan usaha menyelamat.

Sebuah masjid di Jablanica juga dilaporkan tenggelam sepenuhnya.

Dalam pada itu, kereta api Bosnia Herzegovina mengumumkan terdapat kerosakan serius pada kemudahan landasan sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan ibu negara Sarajevo, manakala perkhidmatan pengangkutan awam dilaporkan tidak beroperasi buat sementara waktu.

Selain utara Herzegovina dan sebahagian Bosnia tengah, perbandaran Kresevo, Kiseljak dan Fojnica turut terjejas akibat banjir.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM