MEXICO CITY, 25 Mei- Mexico telah mencatatkan 48 kematian ekoran gelombang haba sejak Mac, sambil saintis memberi amaran suhu akan terus meningkat dengan kemungkinan rekod baharu.
Lebih 950 orang telah mengalami pelbagai kesan kesihatan dalam tempoh yang sama, menurut kementerian kesihatan.
Tahun lalu, Mexico melaporkan rekod 419 kematian berkaitan haba pada musim panas, yang berlangsung dari Mac hingga Oktober, di negara dengan populasi seramai 129 juta orang.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menyifatkan panas tahun ini sebagai luar biasa.
"Ia adalah fenomena semula jadi yang sangat dikesali berkaitan dengan perubahan iklim," katanya pada sidang akhbar.
Suhu tinggi dan kekurangan angin memburukkan lagi masalah pencemaran di Bandar Raya Mexico khususnya, tambah Lopez Obrador.
Ibu kota, yang terletak pada ketinggian 2,240 meter (7,350 kaki) di atas paras laut, secara tradisinya menikmati iklim sederhana dan beberapa rumah mempunyai penghawa dingin.
Tetapi catatan suhu di Mexico City mencapai rekod 34.3 darjah Celsius (93.7 darjah Fahrenheit) pada 9 Mei, kata Suruhanjaya Air Negara.
Negeri timur laut San Luis Potosi pula mencatatkan paras tertinggi 49.6 darjah Celsius.
Para saintis dari Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico memberi amaran bahawa lebih banyak rekod boleh dipecahkan dalam dua minggu akan datang.
"Tahun ini akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah," kata Francisco Estrada, penyelaras Program Penyelidikan Perubahan Iklim di universiti berkenaan.
Bukan manusia sahaja yang menderita, di selatan Mexico berpuluh-puluh monyet howler telah mati, juga disebabkan oleh cuaca panas.-AFP