fb fb fb fb fb

Bimbang isu keselamatan, Strasbourg tangguh festival filem Israel

Strasbourg, tuan rumah Festival Shalom Europa

STRASBOURG, 25 Mei- Festival filem Israel di bandar Strasbourg, timur Perancis ditangguhkan selagi perang di Gaza masih meletus, kata pihak berkuasa pada hari Jumaat.

Festival Shalom Europa telah dianjurkan di bandar itu selama 15 tahun dan dijadualkan diadakan dari 16 Jun hingga 20 Jun.

Namun Perancis telah melaporkan peningkatan jumlah serangan anti-Semitsm sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober.

Majlis bandar raya Strasbourg tidak memberikan alasan untuk penangguhan itu tetapi berkata bandar raya itu "akan sentiasa menyokong festival filem berkenaan dan akan terus berbuat demikian. Ia berjanji untuk membantu mengadakan festival itu pada tarikh yang sesuai untuk penganjur".

Festival Shalom Europa berkata di laman Facebooknya bahawa keadaan semasa telah memaksa keputusan untuk mengadakan acara itu pada masa yang lebih tenang, sambil menambah bahawa keselamatan dan kesejahteraan peserta adalah keutamaan mutlaknya.

Komuniti Yahudi Perancis, yang ketiga terbesar di dunia, selama berbulan-bulan berada dalam kegelisahan dalam menghadapi peningkatan jumlah serangan dan penodaan tugu peringatan.

Pada 17 Mei, polis Perancis menembak mati seorang lelaki yang membakar rumah ibadat di bandar utara Rouen.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE