fb fb fb fb fb

Gaza tidak boleh didiami lagi- PBB

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 6 Januari- Rejim Israel terus melakukan pengeboman terhadap Gaza pada Sabtu ketika Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa wilayah berkenaan telah menjadi lokasi yang tidak boleh didiami lagi selepas tiga bulan pertempuran berlaku.

Koresponden AFP melaporkan serangan Israel pada pagi Sabtu itu menyasarkan bandar Rafah di selatan Gaza dimana terdapat beratus-ratus penduduk yang berlindung daripada pertempuran.

Situasi meruncing itu menyaksikan krisis kemanusian yang semakin memburuk di Gaza dengan peningkatan kebuluran dan penyakit yang semakin merebak.

Salah seorang penduduk, Abu Mohammed, 60 yang melarikan diri ke Rafah dari kem pelarian pusat Bureij, memberitahu AFP masa depan Gaza adalah "gelap dan suram dan sukar".

Sementara itu, Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Martin Griffiths berkata Gaza telah menjadi tempat yang "tidak boleh didiami".

Ini selepas pasukan Israel terus melancarkan pengeboman secara bertubi-tubi sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Hamas pada Oktober lalu.

"Tiga bulan sejak serangan dahsyat pada 7 Oktober, Gaza telah menjadi tempat kematian, di mana tidak ada sinar harapan lagi," jelas Griffiths dalam satu kenyataan.

"Gaza sudah tidak boleh didiami. Rakyatnya menyaksikan ancaman yang timbul setiap hari terhadap kewujudan mereka sendiri,sedang dunia menyaksikannya", jelas Griffiths.

Tentera Israel menyatakan bahawa pasukannya telah "menyerang lebih 100 sasaran" di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk kedudukan tentera, tapak pelancaran roket dan gudang senjata.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD