GAZA, 21 Mei - Letupan dan asap tebal menyelubungi ruang udara Gaza awal pagi Rabu, ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel.
Desakan global tertumpu kepada gesaan supaya bantuan kemanusiaan segera dibenarkan masuk ke wilayah itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu, tiada bantuan diagihkan di Gaza setakat Selasa, sehari selepas Israel membuka semula penghantaran bantuan secara terhad.
Krisis kemanusiaan di Gaza kini semakin meruncing dengan amaran kebuluran mula disuarakan pakar antarabangsa.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan persetujuan dengan Israel untuk membolehkan penghantaran bantuan segera dari negara Teluk itu ke Gaza.
Sementara itu, Britain menggantung rundingan perdagangan dengan Israel dan memanggil duta negara itu berhubung dasar kejam di Gaza dan Tebing Barat.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, turut menggesa semakan semula perjanjian perdagangan antara EU dan Israel.-REUTERS