GENEVA, 2 Mei – Komuniti Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberi amaran bahawa respons kemanusiaan di Gaza kini berada diambang kehancuran sepenuhnya selepas dua bulan Israel menghentikan penghantaran bantuan ke wilayah bergolak itu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, ICRC menyatakan, pihaknya tidak lagi dapat mengakses bekalan makanan, ubat-ubatan serta peralatan menyelamat nyawa yang diperlukan untuk meneruskan pelbagai program bantuan di Gaza sekiranya sekatan tidak ditamatkan segera.
Israel sebelum ini menghentikan sepenuhnya kemasukan bantuan pada 2 Mac, beberapa hari sebelum gencatan senjata yang bertahan 15 bulan runtuh.
Sekatan berterusan itu menjejaskan hampir 2.4 juta penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kelaparan, perpindahan besar-besaran, dan kemusnahan infrastruktur asas.
PBB sebelum ini turut mengeluarkan amaran tentang kebarangkalian kebuluran yang semakin ketara di wilayah terbabit.
ICRC memaklumkan, dapur komuniti yang dikendalikan mereka antara satu-satunya sumber makanan harian buat ribuan penduduk Gaza kini hanya mampu bertahan beberapa minggu lagi jika bantuan tidak dibenarkan masuk.
Loji rawatan dan sistem bekalan air juga lumpuh akibat kerosakan serta kemusnahan trak kumbahan, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit bawaan air.
Hospital medan ICRC di Gaza pula berdepan kekurangan bekalan makanan dan ubat penting, dengan beberapa jenis peralatan perubatan dilaporkan sudah habis stok.
Situasi kritikal itu turut diperburuk oleh serangan berulang tentera Israel ke atas fasiliti kesihatan dan petugas kemanusiaan.