fb fb fb fb fb

Gaza catat jumlah tertinggi penduduk kudung di dunia

Mohammad Hassan, antara ribuan kanak-kanak yang terpaksa diamputasi akibat serangan Israel / Foto REUTERS

GAZA, 20 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Gaza kini mempunyai populasi paling ramai penduduk kudung di dunia, susulan serangan yang dilakukan Israel.

Data tempatan merekodkan sekurang-kurangnya 4,800 kes amputasi sejak konflik bermula, kebanyakannya melibatkan kanak-kanak.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menyatakan, angka itu adalah yang tertinggi dalam sejarah moden.

Antara mangsa ialah Mohammad Hassan, seorang kanak-kanak yang kehilangan kaki kiri selepas terkena serangan udara Israel ketika dalam perjalanan membeli falafel.

“Saya cuba lari, tapi terlalu pantas. Saya terpelanting ke dinding dan bila saya lihat, kaki saya sudah tiada,” katanya dari katil hospital.

Maryam Abu Alba pula kehilangan satu kaki.

Neneknya memberitahu, sebelah lagi kaki Maryam dipasang besi selepas rumahnya dibom.

“Mula-mula rumah sebelah dibom, kemudian rumah mereka pula jadi sasaran. Kakinya terpaksa dipotong, manakala kaki yang satu lagi dipasang besi kerana patah.

Dia sangat menderita akibat amputasi. Kami merayu agar Maryam diberi kaki palsu dan rawatan untuk saraf dan urat yang putus,” ujar neneknya.

Maryam Abu Alba(Maryam Abu Alba kehilangan sebelah kaki selepas kediamannya dibom tentera Zionis)

Seorang lagi kanak-kanak, Shahd, kehilangan lengan kiri akibat serpihan bom.

“Saya berdiri di depan rumah bila terkena serpihan akibat bom, tangan saya putus.

Saya harap mereka boleh beri saya tangan palsu supaya saya boleh gerakkannya semula,” katanya.

Shahd(Shahd putus tangan kiri selepas terkena serpihan akibat bom)

Di Khan Younis, Ibrahim Abdel Nabi, bapa kepada empat anak, turut menjadi mangsa amputasi selepas terkena peluru letupan ketika cuba mengambil bantuan makanan.

“Pada 27 Mei lepas, saya pergi ambil bantuan di Rafah. Sampai sahaja, kaki saya terkena peluru letupan dan terus dipotong.

Saya berdarah lebih sejam setengah tanpa bantuan kerana semua orang sibuk dapatkan makanan untuk anak mereka. Kemudian beberapa pemuda bawa saya ke hospital Palang Merah,” katanya.

Selepas lebih 12 pembedahan, kakinya terpaksa dipotong berulang kali akibat jangkitan dan kekurangan rawatan.

Kini, Ibrahim bersama isterinya terpaksa menghasilkan kaki palsu menggunakan paip kumbahan dan bingkai tingkap lama supaya dia boleh bergerak mendapatkan bantuan makanan untuk keluarganya.

“Ia langsung tak ganti kaki saya, tapi sekurang-kurangnya boleh saya gunakan untuk berpaut.

Walaupun sakit, luka dan jangkitan semakin teruk, saya tetap guna sebab tiada rawatan dan tiada bekalan. Keadaan makin hari makin parah,” ujarnya.

Ibrahim Abdel Nabi(Isteri kepada Ibrahim Abdel Nabi sedang memasang kaki palsu yang diperbuat daripada bahan terpakai)

Menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), penghantaran kaki dan tangan palsu ke Gaza amat sukar dilakukan, melambatkan lagi proses pemulihan ribuan pesakit. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN