fb fb fb fb fb

32 maut serangan bersenjata di masjid Nigeria

Foto hiasan

KATSINA, 20 Ogos - Sekurang-kurangnya 32 jemaah maut selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid di bandar Unguwar Mantau, daerah Malumfashi pada Selasa.

Kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai 'bandit' itu melepaskan tembakan ketika orang ramai sedang beribadah.

Menurut laporan awal, serangan itu dipercayai sebagai tindakan balas selepas tentera Nigeria menggagalkan cubaan serangan oleh kumpulan sama di kawasan berhampiran.

Penduduk tempatan, Nura Musa berkata, sembilan jemaah maut di tempat kejadian dan selebihnya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Sementara itu, jurucakap polis negeri Katsina, Abubakar Sadiq-Aliyu mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan jumlah korban masih dikemas kini.

Serangan itu berlaku walaupun beberapa perjanjian damai pernah dimeterai antara pihak berkuasa negeri dan kumpulan bandit.

Bagaimanapun, daerah Malumfashi dilaporkan tidak terbabit dengan sebarang perjanjian.

Keganasan kumpulan bersenjata di barat laut dan tengah Nigeria pada asalnya berpunca daripada konflik perebutan tanah serta sumber air antara penternak dan petani.

Ia kemudian bertukar menjadi jenayah terancang termasuk rompakan dan penculikan untuk wang tebusan. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN