fb fb fb fb fb

Tentera Thailand dedah lokasi periuk api di sempadan Surin

Foto REUTERS

SURIN, 20 Ogos – Tentera Diraja Thailand hari ini membawa media dan atase tentera ASEAN meninjau kawasan di timur wilayah Surin yang terjejas akibat pertempuran berdarah dengan Kemboja bulan lalu.

Kawasan itu dipagari pita keselamatan, menunjukkan lokasi seorang anggota tentera Thai terpijak periuk api pada 12 Ogos ketika menjalankan rondaan berhampiran pagar kawat duri.

Ketua Pasukan Pengesanan dan Pelupusan Periuk Api, Charoen Srinonyant berkata, kawasan itu telah dibersihkan lebih awal demi keselamatan delegasi.

“Ketika pemeriksaan hari ini, kami menemui satu lagi periuk api yang ditanam berhampiran lokasi kejadian,” jelasnya.

Tentera Thailand turut memusnahkan roket BM-21 buatan Kemboja yang ditemui sebelum ini serta mengadakan demonstrasi kerja-kerja pelupusan bahan letupan dan pemindahan ke hospital yang rosak akibat pertempuran.

Sementara itu, Kemboja menafikan dakwaan bahawa mereka menanam periuk api baharu di sempadan, sambil menegaskan tidak menyimpan stok senjata.

Pertempuran yang tercetus pada 24 Julai lalu disifatkan paling buruk antara kedua-dua negara dalam tempoh lebih sedekad.

Ia melibatkan tembakan artileri dan serangan jet pejuang yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa serta memaksa lebih 300,000 penduduk melarikan diri.

Gencatan senjata masih bertahan selepas Thailand dan Kemboja bersetuju membenarkan pemerhati ASEAN memantau kawasan sempadan yang dipertikaikan bagi mengelakkan pertempuran berulang. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN