TOKYO, 20 Ogos - Fenomena bola api menerangi langit di barat Jepun malam tadi, mengejutkan penduduk.
Cahaya terang itu dapat dilihat sejauh ratusan kilometer selepas pukul 11.00 malam waktu tempatan.
Seorang saksi, Yoshihiko Hamahata yang memandu di Wilayah Miyazaki berkata, cahaya putih tersebut terlalu terang sehingga bentuk rumah di sekelilingnya jelas kelihatan.
“Ia seperti siang hari. Untuk seketika saya tidak tahu apa yang berlaku dan sangat terkejut,” katanya kepada NHK.
Menurut Ketua Muzium Angkasa Sendai di Kagoshima, Toshihisa Maeda, ia adalah fenomena semula jadi dikenali sebagai 'fireball', iaitu meteor yang sangat terang.
Beliau percaya objek itu jatuh ke Lautan Pasifik.
“Orang ramai melaporkan turut merasai gegaran udara. Ia seterang cahaya bulan,” katanya.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjelaskan, objek yang menyebabkan fenomena fireball biasanya berukuran lebih satu meter.
Jika ia meletup di atmosfera, ia dirujuk sebagai 'bolide'. -AFP