fb fb fb fb fb

Israel lulus projek penempatan besar di Tebing Barat

Sebahagian kawasan di Tebing Barat / Foto REUTERS

BAITULMAQDIS, 20 Ogos - Israel meluluskan projek penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, langkah yang dibimbangi masyarakat antarabangsa boleh menjejaskan masa depan penubuhan negara Palestin.

Datuk Bandar Maale Adumim, Guy Yifrach berkata, pihaknya baharu sahaja meluluskan pelan pembinaan kawasan kejiranan E1.

Kawasan tersebut berkeluasan kira-kira 12 kilometer persegi terletak di timur Baitulmaqdis dan telah lama dirancang Israel.

Bagaimanapun, pembinaannya tertangguh berikutan bantahan antarabangsa.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menyokong rancangan membina kira-kira 3,400 unit rumah di kawasan berkenaan yang terletak antara Baitulmaqdis dan Maale Adumim.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran bahawa pembinaan penempatan itu akan “menghapuskan harapan penyelesaian dua negara” bagi konflik Israel-Palestin.

Pertubuhan hak asasi Israel, Ir Amim pula menyifatkan kelulusan itu sebagai strategi untuk menutup terus kemungkinan penubuhan negara Palestin dan sekali gus menganeksasi Tebing Barat.

Kerja infrastruktur di E1 boleh bermula dalam beberapa bulan, diikuti pembinaan rumah dalam tempoh setahun.

Di Tebing Barat kini terdapat kira-kira tiga juta penduduk Palestin dan hampir 500,000 peneroka haram Israel, tidak termasuk di timur Baitulmaqdis. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN