fb fb fb fb fb

Gambar terakhir sebelum Phillips dan Pereira dibunuh, ditemui

RIO DE JANEIRO, 3 Jun- Gambar terakhir wartawan Britain yang terbunuh, Dom Phillips dan pakar Orang Asli Brazil, Bruno Pereira, yang hilang setahun lalu di hutan hujan Amazon, telah ditemui dalam telefon bimbit yang hilang.

Gambar-gambar itu, ditunjukkan dalam sebuah dokumentari yang disiarkankan pada Jumaat.

Ia diambil beberapa jam sebelum Phillips dan Pereira dibunuh pada 5 Jun 2022.

Jenayah itu telah mencetuskan bantahan antarabangsa dan menarik perhatian kerana pelanggaran undang-undang yang mencetuskan kemusnahan hutan hujan terbesar di dunia itu.

Penyiasat berkata Phillips, 57, dan Pereira, 41, ditembak oleh sekumpulan nelayan haram.

Kematian mereka dilihat sebagai tindakan balas terhadap kerja Pereira memerangi jenayah alam sekitar di kawasan simpanan Orang Asli Lembah Javari, di utara Brazil.

Pasukan peronda Orang Asli merupakan kumpulan yang dilatih oleh Pereira untuk melindungi kawasan itu daripada pelombong emas, pembalak dan pemburu haram.

Peronda daripada kumpulan hak Orang Asli UNIVAJA, memainkan peranan penting bagi membantu pihak berkuasa mencari mayat Philips dan Pereira.

Dokumentari yang dihasilkan oleh perkhidmatan penstriman Globoplay, menunjukkan pasukan pencari menggunakan pengesan logam di lokasi mayat ditemukan.

Pasukan itu berjaya mennemukan buku nota dan kad media Phillips dan kemudian menemui telefon Pereira.

Barang tersebut berpotensi dijadikan sebagai bukti penting kematian mereka.

(Foto hiasan/AFP)

Telefon yang ditemui pada Oktober itu diselaputi lumpur dan telah diserahkan kepada pakar forensik untuk mendapatkan imej dan data.

Gambar terakhir yang diperolehi daripada data tersebut menunjukkan ianya diambil pada pagi lelaki itu dibunuh.

Foto tersebut menunjukkan Phillips sedang duduk di dalam sebuah bot kecil di sungai Itaquai, dan bercakap dengan seorang penduduk tempatan berhampiran pantai.

Terdapat juga video salah seorang daripada tiga suspek yang sedang dibicarakan dalam kes itu iaitu seoarang nelayan tempatan Amarildo "Pelado" Costa de Oliveira.

Anggota peronda orang asli berkata Oliveira telah mengancam mereka sehari sebelum pembunuhan itu.

Bagaimanapun, Pereira telah menerima ugutan bunuh berulang kali untuk kerjanya.

Pemimpin UNIVAJA berkata mereka berharap foto itu akan membantu kes tersebut seadilnya.- AFP

Media Baharu