fb fb fb fb fb

Gagal: Syarikat Jepun tekad teruskan misi hantar kenderaan robotik ke bulan

(Ketua Pegawai Eksekutif ispace, Hakamada, dalam sidang media
berkaitan program Hakuto-R di Tokyo)

TOKYO, 26 April- Syarikat permulaan Jepun menerusi misi ispace mengakui cita-cita tinggi mereka untuk muncul syarikat swasta pertama berjaya mendaratkan kenderaan robotik tanpa pemandu di bulan, gagal namun terus beriltizam untuk meneruskan misi baharu.

Kenderaan tanpa pemandu Hakuto-R Misi 1 itu dijadualkan tiba di permukaan bulan, namun komunikasi terputus semasa proses menurunkan dan setakat 25 minit selepas kenderaan itu dijadualkan mendarat, komunikasi masih gagal dipulihkan.

“Ia telah dikenal pasti ada kemungkinan tinggi kapal angkasa (kenderaan robotik) mungkin mendarat secara keras di permukaan bulan,” kata ispace dalam satu kenyataan. 

Syarikat itu memaklumkan pasukan jurutera mereka sedang mencari punca gagal mendarat seperti dirancang.

“Meskipun kami tidak menjangka kegagalan pendaratan di bulan pada masa ini, kami percaya bahawa kami telah mencapai sepenuhnya kepentingan misi ini, setelah memperoleh banyak data dan pengalaman," kata Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas ispace, Takeshi Hakamada.

“Lebih penting adalah menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk kembali ke Misi 2 dan seterusnya," katanya.


(Kenderaan robotik/kapal angkasa Hakuto-R Mission 1 yang disimpan dalam
roket Falcon 9 SpaceX di lokasi tidak didedahkan/AFP)

Jelas Hakamada, syarikatnya sedang membangunkan dua percubaan susulan untuk mendaratkan kenderaan (kapal angkasa) di permukaan bulan dan kegagalan itu tidak akan membantutkan cita-cita seterusnya.

Tegasnya, kegagalan itu juga bukanlah penamat mengecewakan untuk misi yang bermula dengan pelancaran kapal angkasa pada Disember lalu menggunakan roket SpaceX Falcon 9, roket yang membawa muatan dari beberapa negara, termasuk kapal angkasa bulan dari Emiriah Arab Bersatu.

Kenderaan robotik itu hanya bersaiz lebih dua meter (6.5 kaki) tinggi dan seberat 340 kilogram (750 paun), sudah berjaya masuk ke orbit bulan, pada bulan lalu.

Pendaratan sepatutnya boleh dilakukan secara automatik sepenuhnya dan komunikasi boleh diaktifkan sebaik berjaya mendarat di bulan.

Setakat ini, hanya Amerika Syarikat, Rusia dan China berjaya mendaratkan kenderaan robotik mereka di permukaan bulan. –AFP

Media Baharu