fb fb fb fb fb

Gadis ditemukan selamat di bawah runtuhan, 248 jam selepas gempa

(Anggota penyelamat berjalan melepasi runtuhan berhampiran
tapak Aleyna Olmez, 17, diselamatkan pada 16 Februari 2023/Foto AFP)

KAHRAMANMARAS, 17 Februari- Anggota penyelamat Turkiye pada Khamis menarik keluar seorang gadis berusia 17 tahun dari runtuhan gempa bumi minggu lalu.

Ia di sebalik harapan yang semakin pudar untuk mencari lebih banyak mangsa yang terselamat.

Aleyna Olmez diselamatkan 248 jam selepas gempa bumi berukuran 7.8 pada skala richter meranapkan seluruh bandar.

Selain menyaksikan angka korban hampir mencecah 40,000 orang di seluruh tenggara Turkiye dan sebahagian Syria.

(Bapa saudara Aleyna Olmez (tengah), memeluk anggota penyelamat selepas gadis berusia
17 tahun itu diselamatkan dari bangunan runtuh, 248 jam selepas gempa bumi/Foto AFP)

"Dia dalam keadaan sihat...membuka dan menutup matanya," kata Ali Akdogan, pelombong arang batu yang mengambil bahagian dalam usaha menyelamat, kepada AFP di Kahramanmaras, sebuah bandar berhampiran pusat gempa.

"Kami sudah seminggu bekerja di bangunan ini. Kami datang ke sini dengan harapan dapat mendengar bunyi. Kami gembira setiap kali menjumpai benda hidup, walaupun seekor kucing," tambahnya.

Bapa saudara kepada gadis itu turut memeluk seorang demi seorang anggota penyelamat sambil menangis dan berkata: "Kami tidak akan melupakan kamu".

Dalam pada itu, Turkiye telah menggantung operasi menyelamat di beberapa wilayah.

Kerajaan di Syria yang dilanda perang turut melakukan perkara sama di kawasan di bawah kawalannya.-AFP

Media Baharu