BANGKOK, 12 Mei- Thailand melaporkan 12,543 kes baharu COVID-19 minggu lepas, penurunan daripada 14,349 kes minggu sebelumnya ketika pihak berkuasa terus menggesa orang ramai, khususnya kumpulan berisiko tinggi, agar terus berwaspada memandangkan virus itu kini diklasifikasikan sebagai endemik.
Timbalan Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Sasikarn Wattanachan pada Ahad (11 Mei) berkata situasi COVID-19 di Thailand terus bertambah baik, menurut data Kementerian Kesihatan Awam.
Akhbar tempatan Thailand, The Nation melaporkan pada Ahad bahawa dari 1 Jan hingga 8 Mei tahun ini, sejumlah 41,197 kes kumulatif dan 15 kematian dicatatkan, iaitu penurunan ketara berbanding tempoh sama pada 2024 yang merekodkan lebih 700,000 jangkitan.
Sasikarn menjelaskan bahawa COVID-19 kini telah beralih kepada status penyakit endemik, bermakna jangkitan boleh berlaku sepanjang tahun, khususnya pada musim hujan dan sesi persekolahan apabila orang ramai lebih cenderung berkumpul.
Beliau menggesa orang ramai supaya terus mematuhi langkah-langkah kesihatan dan keselamatan.
Sementara itu, akhbar Bangkok Post melaporkan pada Sabtu bahawa Menteri Kesihatan Awam Somsak Thepsutin menasihatkan orang ramai agar tidak panik berhubung kebimbangan mengenai peningkatan semula kes COVID-19 di Thailand, sambil menegaskan bahawa penyakit itu kini telah diklasifikasikan sebagai endemik.
Walaupun bilangan kes masih ketara, Somsak berkata kebanyakan jangkitan hanya menyebabkan gejala ringan.
Beliau mengaitkan kadar jangkitan dengan faktor musim dan perhimpunan berskala besar.
“Walaupun mudah merebak, tahap keterukannya telah berkurang.
“Tidak perlu panik, namun semua pihak mesti kekal berwaspada dan terus mematuhi langkah kesihatan awam seperti memakai pelitup muka,” katanya.- BERNAMA