BANDUNG, 12 Mei – Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk sembilan orang awam maut dalam satu insiden letupan ketika anggota tentera Indonesia sedang melupuskan peluru yang tamat tempoh di dalam sebuah lubang, menurut pihak berkuasa.
Insiden itu berlaku di daerah Garut, wilayah Jawa Barat, kira-kira 300 kilometer dari ibu kota Jakarta.
Jurucakap tentera, Wahyu Yudhayana berkata empat daripada mangsa yang maut adalah anggota tentera.
“Ketika pasukan sedang memasang alat peledak di dalam lubang, tiba-tiba berlaku letupan yang mengorbankan 13 orang,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau berkata punca kehadiran orang awam di kawasan itu masih belum diketahui.
“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden ini,” katanya.
Menurut Wahyu, dua kumpulan peluru telah berjaya dilupuskan sebelum percubaan ketiga berakhir dengan tragedi.
Menurut pihak tentera, lokasi berkenaan telah beberapa kali digunakan sebelum ini untuk tujuan pelupusan bahan letupan.
Tahun lalu, beberapa siri letupan telah berlaku di sebuah gudang peluru milik tentera di pinggir Jakarta.
Pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk sekitar ke kawasan yang lebih selamat, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-AFP