fb fb fb fb fb

Bulan Sabit Merah Palestin kecam pembunuhan petugas perubatan

Foto AFP

RAMALLAH,12 Mei– Ratusan petugas Bulan Sabit Merah Palestin mengadakan perarakan di bandar Ramallah, Tebing Barat, hari ini bagi mengecam pembunuhan petugas perubatan di Gaza sepanjang tempoh 19 bulan konflik berlarutan.

Perarakan sempena Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia itu disertai kakitangan perubatan, petugas sokongan dan sukarelawan.

Bulan Sabit Merah memaklumkan seramai 48 kakitangannya terkorban sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023, termasuk 30 yang maut ketika menjalankan misi kemanusiaan.

"Peserta perarakan turut membawa kafan putih simbolik dengan nama dan gambar mangsa serta sepanduk menuntut pembebasan tiga kakitangan yang masih ditahan tentera Israel lebih setahun lalu.

"Kira-kira 1,400 petugas kemanusiaan dan perubatan terbunuh di Gaza, manakala puluhan lagi ditahan ketika sedang menjalankan tugas," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, antara insiden paling tragik berlaku di Rafah, Gaza Selatan, pada Mac lalu apabila 15 anggota penyelamat, termasuk lapan paramedik Bulan Sabit Merah, maut dalam serangan tentera Israel ketika memberi respons kepada panggilan kecemasan.

Insiden berkenaan mendapat kecaman masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu yang menyuarakan kebimbangan terhadap jenayah perang itu.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM