TOKYO, 10 Oktober - Gabungan pemerintah Jepun berpecah pada hari Jumaat (10 Oktober), apabila rakan kongsi kecil, Komeito, bertindak menentang pemimpin baharu Parti Demokratik Liberal (LDP) yang berhaluan tegas, Sanae Takaichi — satu tindakan yang menimbulkan keraguan terhadap usaha beliau untuk menjadi perdana menteri.
Takaichi, yang dipilih oleh LDP sebagai pemimpin baharu pada hari Sabtu (4 Oktober), kini menunggu undian parlimen untuk mengesahkan pelantikannya sebagai perdana menteri. Undian itu pada asalnya dijangka diadakan sekitar 15 Oktober, tetapi mungkin akan ditangguhkan disebabkan perpecahan ini.
LDP, yang telah mentadbir Jepun untuk sebahagian besar tempoh pascaperang, kekurangan 37 kerusi untuk mencapai majoriti dalam dewan rendah parlimen. Parti itu juga mempunyai kedudukan minoriti dalam dewan tinggi parlimen yang kurang berkuasa.
Parti-parti pembangkang boleh mengemukakan calon mereka sendiri apabila parlimen bersidang untuk mengundi perdana menteri yang baharu.
Mana-mana calon yang memperoleh majoriti mudah dalam pusingan pertama akan diluluskan. Jika tiada, dua calon dengan undian tertinggi akan bertanding dalam pusingan kedua.
Ketua Komeito, Tetsuo Saito, memberitahu ahli partinya bahawa kerjasama selama 26 tahun itu telah berakhir disebabkan penjelasan yang "tidak memadai" oleh LDP berhubung cara parti itu menangani skandal pembiayaan politik yang menggugat gabungan pemerintah. - REUTERS