fb fb fb fb fb

Gabenor wilayah Filipina maut ditembak ketika agih bantuan

(Foto FB Bongbong Marcos(kiri))

MANILA, 4 Mac- Seorang gabenor wilayah tengah Filipina dan lima orang lagi ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali, kata balunya, dalam serangan terbaharu terhadap pegawai tempatan.

Polis berkata enam suspek yang membawa senapang dan berpakaian seragam sama seperti yang dipakai oleh perkhidmatan bersenjata memasuki rumah gabenor di bandar Pamplona dan melepaskan tembakan.

Gabenor wilayah Negros Oriental, Roel Degamo dan lima yang lain terbunuh dalam kejadian itu.

"Gabenor Degamo tidak layak menerima kematian seperti itu. Beliau berkhidmat kepada pengundinya pada hari Sabtu," kata Janice Degamo yang juga datuk bandar Pamplona, ​​dalam video yang disiarkan di Facebook.

Presiden Ferdinand Marcos mengecam apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan sekutu politik beliau.

“Kerajaan saya tidak akan berehat sehingga pelaku jenayah ini dibawa ke muka pengadilan,” tegas Marcos.

Keadaan empat orang lagi yang ditembak dalam kejadian itu tidak didedahkan.

"Degamo sedang mengagihkan bantuan kepada pengundi apabila beliau ditembak," kata jurucakap polis wilayah, Kym Lopez.

Polis sedang mencari 10 suspek, termasuk enam lelaki bersenjata yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan dua SUV dan trak pikap sebelum meninggalkan kenderaan itu di bandar berhampiran.

Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Benjamin Abalos merayu saksi kejadian agar tampil membantu polis "mendapatkan keadilan" untuk Degamo.

Degamo, 56, adalah sasaran terbaharu dalam sejarah panjang serangan terhadap ahli politik Filipina. Mendiang adalah ahli politik ketiga ditembak sejak pilihan raya umum tahun lalu.

Bulan lepas, Mahkamah Agung mengisytiharkan beliau sebagai pemenang sah jawatan gabenor Negros Oriental susulan pengiraan semula. Kiraan semula itu dibuat setelah pesaingnya diumumkan sebagai pemenang.

Pada bulan lalu juga Gabenor wilayah Lanao del Sur, Mamintal Adiong ditembak dan cedera dalam serangan yang membunuh pemandunya dan tiga pengiring polis.

Pada bulan yang sama, Naib Datuk Bandar Aparri, Rommel Alameda dan lima orang lain ditembak mati dalam serangan hendap di lebuh raya. -AFP

(Gabenor wilayah Filipina maut ditembak ketika agih bantuan/FB)

Media Baharu