SANTIAGO, 12 Ogos - Sekumpulan saintis menemui fosil mamalia bersaiz tikus yang hidup pada zaman dinosaur di Patagonia, Chile.
Spesies dinamakan Yeutherium pressor itu dianggarkan seberat antara 30 hingga 40 gram dan hidup pada zaman Kapur Cretaceous akhir kira-kira 74 juta tahun lalu.
Ia merupakan mamalia terkecil pernah ditemui di wilayah ini yang ketika itu merupakan sebahagian daripada benua Gondwana.
Fosil tersebut terdiri daripada secebis rahang kecil dengan satu gigi geraham serta mahkota dan dua lagi geraham, menurut ketua penyelidik, Hans Puschel, dari Universiti Chile dan pusat penyelidikan Millennium Nucleus mengenai mamalia awal.
Penemuan berkenaan diterbitkan bulan ini dalam jurnal saintifik Britain, Proceedings of the Royal Society B.
Penyelidik menemui fosil itu di Lembah Río de las Chinas, wilayah Magallanes, kira-kira 3,000 kilometer di selatan Santiago.
Walaupun kelihatan seperti tikus kecil, Yeutherium pressor adalah mamalia yang dipercayai bertelur seperti platipus, atau membawa anak dalam kantung seperti kanggaru atau opossum.
Bentuk giginya menunjukkan ia mungkin memakan sayuran keras.
Seperti dinosaur yang hidup sezaman dengannya, mamalia kecil ini pupus secara tiba-tiba pada penghujung zaman Kapur, kira-kira 66 juta tahun lalu. - AFP