VALETTA, 2 Mei – Semua 16 individu di atas kapal flotilla bantuan ke Gaza yang diserang dron Israel di perairan antarabangsa berhampiran Malta disahkan selamat, menurut kenyataan kerajaan Malta pada Jumaat.
Video yang dikeluarkan menunjukkan sebuah kapal tunda memadamkan kebakaran pada kapal Conscience milik Gaza Freedom Flotilla, susulan serangan dron yang dilakukan awal pagi.
“Kapal tersebut membawa 12 anak kapal dan empat penumpang awam; tiada kecederaan dilaporkan,” menurut kenyataan itu yang menambah, sebuah kapal tunda berdekatan telah dihantar untuk memberi bantuan.
Kebakaran berjaya dikawal sekitar 1.28 pagi waktu tempatan dan sebuah kapal
peronda Angkatan Tentera Malta turut digerakkan ke lokasi.
Menjelang pukul 2.13 pagi, semua anak kapal disahkan selamat namun enggan menaiki kapal tunda.
Kapal itu kekal berada di luar perairan Malta dan terus dipantau oleh pihak berkuasa.-REUTERS