MANILA, 17 September - Filipina pada Rabu menuduh Pengawal Pantai China melakukan 'perbuatan menyalahi undang-undang' sehari selepas insiden menembak meriam air ke arah kapal Filipina berhampiran Terumbu Scarborough yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Jurucakap Pengawal Pantai China, Gan Yu, menuduh lebih 10 kapal Filipina berkenaan menceroboh 'perairan wilayah China di Terumbu Scarborough dari pelbagai arah'.
Dalam kenyataan berasingan, Pengawal Pantai Filipina menjelaskan pihaknya sedang melaksanakan misi menghantar bekalan kepada lebih 35 bot nelayan Filipina di kawasan berkenaan ketika mereka berdepan 'tindakan agresif' sembilan kapal China.
"Mengugut, mengancam, melakukan tindakan tidak sah – itu sudah menjadi kebiasaan kerajaan China," kata jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Jay Tarriela, pada sidang media di Manila.
Konfrontasi terbaharu itu berlaku seminggu selepas China meluluskan rancangan untuk menjadikan kawasan terumbu itu sebagai taman simpanan semula jadi negara, langkah yang menurut penganalisis pertahanan bakal menguji reaksi Manila terhadap rantaian terumbu berbentuk segi tiga seluas 150 kilometer persegi tersebut.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam. Pertikaian mengenai pemilikan beberapa pulau dan ciri maritim lain telah berlarutan selama bertahun-tahun.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara di The Hague memutuskan bahawa tuntutan besar-besaran China di rantau itu tidak disokong undang-undang antarabangsa, keputusan yang sehingga kini ditolak Beijing.- REUTERS