GAZA, 17 September - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesahkan kira-kira 26,000 kanak-kanak di Gaza kini memerlukan rawatan segera akibat kekurangan zat makanan akut, dengan lebih 10,000 kes dilaporkan di bandar Gaza sahaja.
Jurucakap UNICEF, Tess Ingram menyifatkan keadaan malnutrisi kanak-kanak di wilayah itu sebagai semakin “parah dan di luar kawalan”. Kebuluran di bandar Gaza telah disahkan bulan lalu oleh pakar keselamatan makanan yang disokong PBB.
“Adalah tidak berperikemanusiaan untuk mengharapkan hampir setengah juta kanak-kanak yang sudah trauma akibat lebih 700 hari konflik berterusan, dipaksa lari dari satu ‘neraka’ hanya untuk sampai ke ‘neraka’ yang lain,” katanya.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), hampir 70,000 orang dipaksa berpindah ke selatan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 150,000 orang dalam sebulan.
Al-Rashid Road dilaporkan sesak dengan pergerakan pelarian menuju ke zon kemanusiaan di Al-Mawasi dan kawasan sekitarnya.
Sementara itu, pejabat media Gaza memaklumkan kira-kira 800,000 penduduk kini berhimpun di kawasan Al-Mawasi yang ditetapkan Israel sebagai “zon kemanusiaan.”
Bagaimanapun, lebih 2,000 orang dilaporkan terbunuh dalam lebih 109 serangan udara Israel di kawasan itu.
Israel mendakwa operasi ketenteraan mereka di bandar Gaza bertujuan menewaskan Hamas dan menggesa penduduk berpindah ke kawasan selatan.
Namun, kawasan yang digelar “selamat” itu turut menjadi sasaran serangan udara yang mengakibatkan korban besar. -REUTERS