fb fb fb fb fb

EU rancang perkukuh kerjasama dengan India, meskipun bimbang hubungan dengan Moscow

Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah Bagi Hal Ehwal Luar, Kaja Kallas (kiri) bersama Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Maros Sefcovic pada sidang media di Brussels, Belgium/ Foto REUTERS

BRUSSELS, 17 September – Suruhanjaya Eropah pada Rabu mengumumkan rancangan untuk memperkukuhkan kerjasama dengan India dalam bidang pertahanan, teknologi dan perdagangan meskipun wujud kebimbangan terhadap hubungan rapat New Delhi dengan Moscow.

Kesatuan Eropah (EU) dan India kini berada di peringkat akhir rundingan perjanjian perdagangan bebas yang disasarkan bakal dimuktamadkan hujung tahun ini.

Rundingan yang dilancarkan semula pada tahun 2022 itu semakin dipercepatkan sejak pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memperkenalkan tarif baharu ke atas rakan dagangan.

Bagi Brussels, langkah ini sebahagian daripada usaha membina pakatan baharu termasuk perjanjian perdagangan dengan Mexico, blok Mercosur di Amerika Selatan, India dan Indonesia.

India pula melihat EU sebagai rakan berpotensi selain mengekalkan hubungan dengan China dan Rusia.

Sejak pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022, India meningkatkan pembelian minyak Rusia.

Malah bulan lalu, Perdana Menteri India Narendra Modi dilihat berpegangan tangan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada sidang kemuncak di China, selain menghantar tenteranya menyertai latihan ketenteraan yang diterajui Rusia. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN