fb fb fb fb fb

Filipina tarik balik larangan import unggas dari 6 negara dan wilayah

Foto hiasan/REUTERS

MANILA, 10 Oktober -Filipina menarik balik larangan sementara ke atas import burung domestik dan liar dari beberapa negara dan wilayah yang sebelum ini terjejas akibat wabak selesema burung, menurut Jabatan Pertanian (DA) negara itu pada Khamis, lapor Xinhua.

Setiausaha Pertanian Francisco Tiu Laurel menandatangani beberapa perintah memorandum yang secara rasmi membenarkan semula import unggas hidup, sama ada domestik mahupun liar, khususnya untuk tujuan haiwan peliharaan atau zoo, dari Azerbaijan, Kazakhstan, Arab Saudi, Slovenia, Sweden serta dari Kelantan dan Sabah di Malaysia.

Larangan itu sebelum ini dikenakan susulan laporan mengenai wabak selesema burung patogenik tinggi di kawasan berkenaan. Namun, menurut DA, semua kes yang dilaporkan diselesaikan dan tiada wabak baharu dikesan, justeru kerajaan membuka semula pintu masuk untuk penghantaran unggas dari negara tersebut.

DA berkata berdasarkan laporan rasmi daripada pihak berkuasa veterinar berkaitan dan setelah dinilai oleh Biro Industri Haiwan, risiko import unggas dari kawasan terbabit adalah rendah.

Import komoditi yang diluluskan kini dibenarkan masuk ke Filipina, tertakluk kepada pematuhan semua peraturan sedia ada berkaitan sanitasi dan fitosanitari, menurut kenyataan DA. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF