fb fb fb fb fb

Filipina kini berada pada fasa 'risiko rendah' COVID-19

FOTO AFP

MANILA, 16 Februari - Filipina kini berada pada fasa 'risiko rendah' COVID-19 apabila lebih ramai rakyatnya mendapat vaksin dan kemasukan pesakit ke hospital turut berkurangan, kata jurucakap Presiden Rodrigo Duterte.

Minggu lalu, negara itu membuka semula sempadan kepada pelancong asing buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Meskipun beberapa sekatan kesihatan kekal ketika kempen untuk pilihan raya pada 9 Mei ini bermula.

"Wilayah ibu negara dan seluruh Filipina kini mempunyai klasifikasi berisiko rendah dari segi pertumbuhan kes, kelaziman dan kapasiti sistem kesihatan, menurut Karlo Nograles kepada pemberita.

Selepas lonjakan virus Omicron dan Delta yang sangat mudah berjangkit membawa kepada sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, kadar penghunian katil hospital juga berkurangan kepada kira-kira 30%.

Menurut pegawai kesihatan, purata kes adalah kira-kira 3,600 setiap hari pada minggu lalu apabila bilangan orang yang diberi vaksin sepenuhnya meningkat kepada kira-kira 56% daripada populasi.

Selepas penutupan berpanjangan yang menjejaskan ekonomi dan menyebabkan jutaan orang kehilangan pekerjaan, kerajaan kini merancang untuk menarik balik semua sekatan, kata Timbalan Setiausaha Kesihatan Maria Rosario Vergeire.

"Apabila itu berlaku semua sekatan akan ditarik balik dan semuanya akan berada di bawah kawal selia sendiri," tambahnya.

Menurut data kerajaan, virus tersebut telah menjangkiti lebih 3.6 juta orang dan membunuh lebih daripada 55,000 orang.-AFP

Media Baharu