(Foto fail AFP)
MANILA, 14 September- Filipina menarik balik larangan penghantaran pekerja domestik ke Arab Saudi, dan ia akan disambung semula pada 7 November depan.
Ini selepas Riyadh bersetuju meningkatkan langkah perlindungan untuk migran Filipina, kata seorang pegawai.
Keputusan dibuat selepas perbincangan antara Jabatan Pekerja Asing Filipina dan Kementerian Sumber Manusia Arab Saudi.
Agensi berkenaan berikrar untuk bekerjasama rapat bagi menyediakan kemudahan pekerja yang layak dan produktif serta memastikan "perlindungan hak mereka", menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, pada lewat Selasa.
Antara lain, pekerja dibenarkan berhenti sebelum tamat kontrak sekiranya berlaku penyalahgunaan oleh majikan dan perlindungan insurans akan disediakan untuk gaji yang tidak dibayar.
"Sebarang tindakan keganasan dan tidak bermoral adalah alasan untuk pra-pemberhentian," kata Setiausaha Pekerja Asing Filipina, Susan Ople dalam taklimat.
(Arab Saudi ialah destinasi pilihan pekerja Filipina/Foto fail AFP)
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Advokasi Migran yang berpangkalan di Manila, Ellena Sana mengalu-alukan perubahan itu, namun berkata penguatkuasaan adalah langkah bagi perlindungan kritikal.
"Tidak cukup mereka membuat pengumuman itu. Usaha wajar adalah penting bagi memastikan semua pembaharuan tersebut dilaksanakan di lapangan," kata Sana.
Manila pada November tahun lalu, menghentikan penghantaran pekerja ke Arab Saudi susulan terdapat laporan mengenai penderaan dan gaji tidak dibayar.
Lebih 700,000 warga Filipina bekerja di Arab Saudi, kebanyakannya sebagai pembantu rumah, menurut data rasmi terkini.-AFP