fb fb fb fb fb

FIFA ramal Piala Dunia Wanita sehebat versi Lelaki

(FOTO AFP)

SYDNEY, 11 April - FIFA meramalkan Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand akan menjadi detik 'perubahan besar' yang mendorong permainan ke tahap lain dengan sasaran menyaingi Piala Dunia versi lelaki.

Bola sepak wanita sudah pun mencapai lonjakan populariti di beberapa negara dan kejohanan itu bakal mencetuskan minat global lebih luas.

Menjelang 100 hari sebelum pertandingan bermula, Ketua Pegawai Bola Sepak Wanita FIFA, Sarai Bareman memberitahu NewsCorp Australia dalam komen yang diterbitkan pada Selasa bahawa lebih dua bilion penonton dijangka menyaksikannya iaitu dua kali ganda daripada kejohanan sebelum ini di Perancis yang dimenangi Amerika Syarikat.

Kehadiran rekod juga diramalkan dengan 650,000 tiket telah terjual dan jualan tiket seterusnya akan dibuka pada Selasa.

Bareman percaya acara itu akan menjadi titik perubahan utama dalam memacu perubahan sosial, mewujudkan teladan untuk gadis muda dan membantu mempromosikan kesaksamaan jantina.

(FOTO AFP)

"Orang ramai akan berkata itulah detik yang mengubah segala-galanya dan membawa permainan ke peringkat seterusnya dalam setiap aspek sama ada secara komersial, penyertaan, populariti dan pertumbuhan.

"Saya fikir orang ramai akan benar-benar melihat ke belakang dan memilih Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand sebagai detik penting di mana pertumbuhan yang sudah berkembang dan akan melangkah ke fasa seterusnya," kata Bareman.

Bareman yang juga bekas pemain antarabangsa Samoa kelahiran New Zealand berkata matlamat utama untuk mengembangkan kejohanan itu adalah untuk menyaingi lelaki dan menempatkan wanita pada kedudukan sama dari segi gaji.

"Kami tahu Piala Dunia lelaki adalah sumber pendapatan utama untuk FIFA dan bola sepak dan itu menjana lebih daripada AS$5 bilion setiap edisi dan itu sasaran yang jelas untuk bola sepak wanita.

"Kami mahu ke tahap itu. Piala Dunia pertama untuk lelaki adalah pada 1930, tidak sampai 61 tahun kemudian Piala Dunia Wanita pertama diperkenalkan dan kami masih di peringkat awal sebagai produk. Tetapi kita perlu melihat apa yang berlaku dalam permainan lelaki sebagai inspirasi dan sasaran dan kita perlu terus berusaha sehingga kita mencapai tahap itu," katanya.

Piala Dunia Wanita yang akan berlangsung di lima bandar raya Australia dan empat New Zealand telah diperluaskan daripada 24 kepada 32 pasukan buat pertama kali.

Perlawanan pembukaan melibatkan pertemuan diantara New Zealand menentang Norway di Auckland manakala Australia bertemu Ireland di Sydney.-AFP

Media Baharu