fb fb fb fb fb

Feri terbakar, sekurang-kurangnya 7 orang mati, 23 lagi cedera

(FOTO GOOGLE)

MANILA, 23 Mei- Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah feri sehingga memaksa penumpang terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

Menurut pengawal pantai dan saksi kejadian, kebakaran melibatkan feri Mercraft 2 itu berlaku kira-kira 6.30 pagi Ahad, waktu tempatan.

Ketika kejadian feri yang dalam perjalanan dari Pulau Polillo ke Real dalam wilayah Quezon di Pulau Luzon itu membawa 134 penumpang dan kru.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Komodor Armando Balilo memberitahu, tujuh penumpang terbunuh dan 120 yang lain berjaya diselamatkan. Tujuh lagi hilang manakala operasi mencari masih diteruskan.

Feri tersebut boleh membawa 186 penumpang dan kru pada satu-satu masa.

Asap hitam dan tebal berkepul dari bot tatkala api menyambar seluruh bahagian kapal, berdasarkan gambar yang dikongsi oleh pengawal pantai.

Penumpang yang memakai jaket keselamatan dan pelampung keselamatan pula dilihat berada di dalam air. Ada kalangan mereka diselamatkan feri lain dan sesetengahnya menaiki bot getah boleh kembung.


(Beberapa penumpang yang diselamatkan dilihat duduk di feri lain/AFP)

Menurut Balilo, kebakaran disyaki bermula dalam bilik enjin.

“Kami hanya dapat menyelamatkan 40 orang. Ada dua kematian,” kata Brunette Azagra, kapten sebuah feri lain yang ketika kejadian berada 500 meter dari Mercraft.

“Mereka bernasib baik kerana kami juga dari Polilo. Feri mereka baru sahaja memintas kami sebelum kebakaran berlaku, kata Azagra kepada stesen radio tempatan dan menyifatkan keadaan laut ketika kejadian "agak baik".

Menurut pengawal pantai sekurang-kurangnya 23 orang mengalami kecederaan.

Feri berkenaan berada kira-kira tujuh kilometer (empat batu) dari pelabuhan, kata pegawai bencana bandar Real, Ricky Poblete.

Menurut Poblete selepas melawat mangsa yang cedera di hospital, tujuh yang mati disebabkan lemas.

Filipina, negara kepulauan yang memiliki lebih 7,000 buah pulau, dibelenggu masalah kemudahan pengangkutan air agak lemah, ditambah penyelenggaraan bot dan feri atau kapal yang kurang memuaskan sekali gus mendedahkan pelbagai risiko keselamatan. -AFP

Media Baharu