fb fb fb fb fb

FBI berjaya akses telefon suspek tembak Trump

Foto REUTERS

WASHINGTON, 16 Julai- Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan berjaya mengakses telefon Thomas Matthew Crooks, suspek yang menembak bekas Presiden Donald Trump.

Bagaimanapun sehingga kini motif kejadian itu masih dalam siasatan.

FBI menegaskan bahawa siasatan terhadap insiden tembakan pada Sabtu lalu dianggap sebagai percubaan membunuh dan mungkin keganasan domestik, masih di peringkat awal.

"Pakar teknikal FBI berjaya mendapat akses kepada telefon Thomas Matthew Crooks dan mereka terus menganalisis peranti elektroniknya.

"Pencarian di kediaman dan kenderaan subjek telah selesai," kata FBI dalam satu kenyataan.

Biro itu berkata pihaknya telah menjalankan hampir 100 soal siasat dengan anggota penguat kuasa, penyokong yang hadir dan saksi lain.

Ketika dihubungi, pegawai FBI berkata mereka masih belum dapat mengaitkan sebarang ideologi atau mencari bukti berhubung motif tembakan itu.

Senapang jenis AR 556 yang digunakan penembak dibeli secara sah oleh bapa suspek dan pegawai berkata tiada petunjuk suspek mengalami sebarang masalah kesihatan mental.

Semakan awal panggilan dan teks oleh penembak tidak menjelaskan sebarang motifnya, atau sama ada orang lain mungkin mempunyai pengetahuan awal mengenai rancangannya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Trump cedera di telinga kanan selepas terkena tembakan ketika berucap di Butler, Pennsylvania.

Seorang penyokong terbunuh dan dua lagi cedera sebelum ejen Perkhidmatan Rahsia menembak mati Crooks yang berusia 20 tahun. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI